Harga-harga saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) ditutup agak tinggi hari ini dengan urus niaga yang aktif saham-saham berpilih pada kaunter-kaunter berkaitan indeks, kata seorang peniaga.
Beliau berkata pasaran turut menyaksikan beberapa minat spekulatif ke atas kaunter-kaunter berkaitan perladangan, Technology Resources (TRI), Telekom Malaysia dan Malayan Banking.
Pada 5 petang, Indeks Komposit menokok 0.63 mata kepada 596.65 sementara Indeks Emas menambah 0.29 mata kepada 144.34.
Indeks Papan Kedua meningkat 0.21 mata kepada 116.84 dan Indeks Perusahaan mengukuh 6.20 mata kepada 1,201.63.
Saham-saham untung mengatasi saham rugi dengan 312 berbalas 234 dengan 210 kaunter tidak berubah, 279 kaunter tidak diniagakan dan 66 lagi digantung.
Jumlah dagangan ialah 191.620 juta bernilai RM301.289 juta.
Jumlah dagangan di Papan Utama agak rendah pada 171.993 juta bernilai RM262.932 juta berbanding dengan 199.422 juta saham bernilai RM254.020 juta sebelumnya.
Indeks Papan Kedua merosot kepada 19.627 juta saham bernilai RM38.351 juta berbanding dengan 27.330 juta saham bernilai RM56.429 juta sebelumnya.
Urus niaga luar pasaran juga rendah kepada 3.229 juta saham bernilai RM6.262 juta berbanding dengan 10.331 juta saham bernilai RM56.037 juta pada hari Khamis.
Pasaran dibuka tinggi hari ini ekoran lantunan teknikal kebanyakannya dirangsang oleh minat belian meluas ke atas saham-saham mewah termasuk Telekom Malaysia.
Para peniaga berkata pasaran begitu aktif tetapi kenaikannya terhalang oleh kebimbangan terhadap prestasi tahun kewangan korporat yang lemah.
Sehubungan dengan itu, para peniaga telah beralih kepada instrumen kewangan yang lebih kebal seperti bon dan emas untuk melindungi pelaburan-pelaburan mereka, kata peniaga itu.
"Pengurus-pengurus dana cuba menyimpan tunai mereka sekurang-sekurangnya sebelum keputusan kewangan korporat terbaru diumumkan dalam tempoh terdekat ini."
Minat ke atas saham-saham yang digemari agak tinggi terutamanya pada Technology Resources Industries (TRI).
TRI ditutup kukuh sebanyak 27 sen kepada RM2.46, ekoran spekulasi yang mengatakan TRI akan mencari rakan niaga yang lebih strategik untuk meningkatkan nilainya.
Para peniaga berkata Telekom Malaysia mahu penguasaan besar dalam TRI dan ini telah membantu menyokong sentimen industri syarikat telekomunikasi.
Dalam pada itu, belian aktif turut menyaksikan Guthrie menokok dua sen kepada RM2.02, Golden Hope menambah dua sen kepada RM3.34, Sime Darby susut dua sen kepada RM4.34 dan IOI Corp menambah empat sen kepada RM3.56.
Antara kaunter-kaunter aktif, Malayan Banking susut 10 sen kepada RM6.90, Intrid naik satu sen kepada 91 sen, MPHB-LA menokok 2.5 sen kepada 17.5 sen, TRI menambah 27 sen kepada RM2.46 dan MPHB meningkat 11 sen kepada 76 sen.
Saham-saham berwajaran berat, Genting Bhd tidak berubah pada RM9.30, Commerce Asset susut 10 sen kepada RM6.25, AMMB menambah lima sen kepada RM2.83 dan Resorts merosot lima sen kepada RM5.10 dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM8.50.
Untuk sektoral, produk pengguna menguasai 2.062 juta saham yang diniagakan di papan utama, produk perusahaan 6.122 juta, pembinaan 22.367 juta, urus niaga/perkhidmatan 45.402 juta, teknologi 1.286 juta, infrastruktur 781,000, kewangan 21.048 juta, perhotelan 4.295 juta, hartanah 22.231 juta, perladangan 4.595 juta, perlombongan 842,000, dana amanah 10,000, dan pinjaman 40.952 juta.
Di Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia (MESDAQ), Indeks Komposit MESDAQ tidak berubah pada 74.00.
Kesemua saham-saham komponennya tidak diniagakan. - Bernama